fbpx

Lans Koperal Alif dituduh bunuh Nur Farah Kartini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Alif (tiga dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

HULU SELANGOR – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit tiga minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Alif Monjani, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang, 15 Julai lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan Telekomunikasi (telco).

Ketika prosiding tertuduh diwakili peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin. Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu sebelum prosiding bermula polis mahkamah sempat mengingatkan keluarga yang hadir supaya mengawal emosi.

Tertuduh yang merupakan suspek direman sehingga 29 Julai ini selepas tempoh reman pertama tamat. Namun hari ini pendakwaan mendapat izin untuk menuduh penjawat awam itu.

Kosmo! melaporkan kertas siasatan berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini akan diserahkan kepada pendakwaan untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, usaha pencarian bahan bukti di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian telah selesai dijalankan.

Polis menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Perak.

Kunci itu ditemukan oleh seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

Polis turut mengesahkan penemuan kunci selain dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.

Pada 17 Julai lalu, polis telah menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang yang turut menjadi lokasi utama pembunuhan tersebut.

Keesokan harinya, beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini turut ditemukan ketika operasi pencarian di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI