PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas di lapan kawasan di Semenanjung hari ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran Tahap 1 (Berjaga-jaga) itu dikeluarkan bagi kawasan Larut dan Matang, Perak.
Selain itu, terdapat dua kawasan lain mencatatkan suhu panas Tahap 1 iaitu di Gombak, Selangor dan Kuala Krai, Kelantan.
“Beberapa daerah di Pahang juga mencatatkan cuaca panas Tahap 1 hari ini iaitu di Raub, Temerloh, Maran, Bentong dan Rompin.
“Tahap Berjaga-Jaga adalah suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan dua siklon tropika pada kategori taufan dan ribut tropika sedang aktif di timur laut Filipina dan Laut China Selatan berhampiran Pulau Hainan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan cuaca di rantau negara menjadi lebih kering dan kurang hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, keadaan dijangka kembali normal apabila dua siklon tropika ini melemah mulai 27 Julai,” katanya. – KOSMO! ONLINE