fbpx

20 artis veteran dapat bantuan RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Zamarul Hisham dan isteri, Diana Rafar menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada 20 selebriti terpilih.

SHAH ALAM – Prihatin nasib insan seni veteran yang berdepan masalah kewangan dan kesihatan, pasangan pelakon popular, Zamarul Hisham dan isterinya, Diana Rafar mengambil inisiatif menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada 20 selebriti terpilih.

Menurut Zamarul, 53, kejayaan program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0 yang dijalankan pada November tahun lalu mendorong mereka kembali menganjurkan siri kedua.

“Istimewanya, Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 kami bekerjasama dengan jenama makanan tambahan kesihatan Afyaa Sdn. Bhd. menyantuni 20 artis seterusnya memberikan tajaan produk Afyaa selama tiga hingga enam bulan dan wang tunai RM5,000 setiap seorang.

“Tujuan utama program ini nak menyantuni artis lama. Selepas kejayaan program terdahulu, kita dapat tahu Pusat Zakat Selangor (PZS) turut membuat ‘follow up’ tentang keadaan mereka dan ada juga artis yang dah dapat bantuan seperti bayaran rumah sewa dan sebagainya. Saya dan Diana bersyukur sangat.

“Jadi, untuk kali ini saya cakap kepada Diana tidak semestinya kita kena bagi dalam bentuk wang sahaja, mungkin kita boleh bantu dari segi kesihatan.

“Kebetulan saya pernah makan produk Afyaa ini sebab ada masalah pinggang. Alhamdulillah berkesan untuk saya. Selepas bincang dengan Diana dan bercakap dengan Afyaa, mereka bersetuju menyumbang,” katanya ketika ditemui para majlis Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 di sini, semalam.

Antara artis yang terpilih menerima sumbangan, termasuklah Norlia Ghani, Mak Jah, Delimawati, Harun Hashim, Mubarak Majid, Ako Mustapha, Bagio, Sathia, Mak Wan Latah, Mak Engku, Kartina Aziz, Anita Rafar, Asilah Rafar, Azila Rafar, Sahronizam Noor, Kenji Sawahi, Rosnah Johari, Aida Khaleda, Azlee Senario dan Yasin Senario.

Jelas pelakon filem Di Ambang Misteri itu lagi, selepas ini dia mahu menolong seramai anak seni yang boleh dan tidak tertumpu kepada pelakon sahaja.

“Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 ini kita bermula dengan pelakon, mungkin selepas ini kita cari pengarah, komposer dan penyanyi.

“Memang itu impian saya sebenarnya. Tetapi Allah belum bagi kaya lagi. Jadi, kita gunakan cara sebegini iaitu bekerjasama dengan syarikat yang sukarela dan sudi membantu.

“Sejujurnya kalau ikutkan saya mahu berikan RM10,000 kepada setiap penerima bantuan, tetapi kali ini hanya RM5,000 sahaja yang mampu diberikan,” katanya.

Bagi Diana pula, dia berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan kerana masih ada beberapa orang selebriti yang menghubunginya mengharapkan bantuan.

“Pada awalnnya, niat saya semasa buat Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0 sebab dapat sambutan ramai artis seperti Mila Jirin dan Zizan Razak. Kami dapat kumpul sehingga RM4000 daripada setiap artis yang datang.

Untuk kumpul semula rakan-rakan artis buat kali kedua ini sedikit sukar kerana masing-masing punya komitmen sendiri.

“Saya cakap pada Zamarul kalaulah kita bergelar jutawan, saya mahu lakukan program ini setiap bulan. Alhamdulillah, Aafya sudi bekerjasama dengan kami. Dan semalam ada empat orang artis yang menghubungi saya bertanya tentang program ini, tetapi kami telah pun memilih 20 orang artis.

Lebih istimewa, kesemua artis turut mendapat kejutan pakej tajaan umrah sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Global Mesra Datuk Seri Salim Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI