PETALING JAYA – Sejak Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dua hari lalu, media sosial dilihat masih hangat membincangkan tentang kematian Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Tinjauan di platform X, ciapan mengenai Zulfarhan telah mencecah sehingga 61,000 manakala carian mengenai UPNM pula sudah melebihi 21,000.
Rata-rata orang ramai meluahkan pelbagai rasa seperti kecewa, kesal, marah dan sedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham walaupun insiden tersebut sudah tujuh tahun berlalu.
Pelbagai pendedahan dibuat netizen antaranya mencari penulis surat layang, menularkan video lama suspek dan memuat naik beberapa fakta kes kejadian yang menimpa Zulfarhan.
Selain itu, beberapa individu juga didedahkan oleh pengguna media sosial yang dianggap turut bertanggungjawab secara langsung dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM tersebut.
Antaranya bomoh dipercayai bapa salah seorang suspek yang menyebut nama Allahyarham yang didakwa mencuri komputer riba.
Selain itu, nama dan gambar warden wanita turut tular dan dipersalahkan gara-gara menularkan surat layang ke dalam kumpulan WhatsApp.
Warden itu juga dipercayai tidak melakukan pemeirksaan segera di bilik di mana Allahyarham dicederakan dan menanggung kesakitan.
Bukan itu sahaja, nama seorang doktor klinik swasta turut menjadi bualan ramai kerana tidak membuat laporan polis dengan kadar segera ketika Allahyarham datang mendapatkan rawatan sebanyak dua kali.
Dalam pada itu, kisah kematian Allahyarham juga mendapat perhatian meluas media negara jiran, Indonesia.
Sejak semalam, beberapa akaun media sosial membuat ciapan tentang kisah Allahyarham sehingga menimbulkan rasa simpati dalam kalangan rakyat Indonesia.
Kelmarin, ibu bapa Allahyarham melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati buat enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun.
Kesemua mereka didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Allahyarham Zulfarhan pada 21 dan 22 Mei 2017.
Ketika kejadian, mangsa bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba malah ditekap dengan seterika wap di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi. – KOSMO! ONLINE