LJUBLJANA – Juara Tour de France (TdF), Tadej Pogacar mengakui tindakannya enggan mewakili Slovenia di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 dipengaruhi keputusan negara itu tidak memilih teman wanitanya, Urska Zigart.
Selepas menjuarai gelaran TdF ketiga dalam kariernya pada Ahad lalu, Pogacar, 25, membuat keputusan mengejut apabila menarik diri daripada beraksi di Paris dengan alasan ‘kepenatan melampau’.
Ia hanyalah alasan semata-mata daripada pelumba pasukan UAE Team Emirates itu yang kemudiannya menyertai satu perlumbaan di Belanda pada Selasa lalu, sekali gus menimbulkan khabar angin ketiadaan Zigart menjadi punca dia menarik diri.
“Saya fikir dia (Zigart) layak diberikan tiket kerana dia adalah juara berganda kebangsaan dalam acara lebuh raya dan ujian masa. dia juga satu-satunya pelumba wanita Slovenia pernah menduduki kelompok 10 teratas dunia.
“Dia memberikan banyak mata buat Slovenia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Tanpanya, mereka (Slovenia) tidak akan mendapat dua slot untuk acara lebuh raya ini,” kata Pogacar.
Sebagai rekod, Zigart, 27, adalah pelumba ranking tertinggi Slovenia dan turut memenangi siri pemilihan negara itu dengan kelebihan masa 10 minit dalam satu perlumbaan lebuh raya wanita.
Bagaimanapun, pelumba yang mewakili Liv AlUla Jaycoslot itu dipinggirkan apabila Slovenia memberikan slot ke Olimpik Paris kepada Eugenia Bujak dan Urska Pintar.
“Saya mendapat mesej teks daripada jurulatih kebangsaan, Gorazd Penko memaklumkan keputusannya. Lebih malang, dia telah membuat keputusan itu dari tahun lalu lagi,” jelas Zigart. – AGENSI