fbpx

Sukarelawan MIV sebar mesej keselamatan internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyertaan sukarelawan MIV pada program KDB dalam usaha menyebar mesej keselamatan internet.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia atau Malaysia ICT Volunteer (MIV) telah merekrut dan melatih 11,335 sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, pada tahun ini pula, suruhanjaya tersebut menyasarkan untuk merekrut 1,500 sukarelawan di seluruh negara.

“Bagi memastikan maklumat diterima kepada semua lapisan masyarakat mencakupi penduduk di luar bandar, sukarelawan MIV terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan ahli komuniti setempat.

“Selain memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital, sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan mengenai penggunaan Internet yang positif,
produktif dan bertanggungjawab,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, antara topik KDB yang dikongsi kepada komuniti termasuklah buli siber, jenayah penipuan dalam talian, serta perlindungan kanak-kanak dalam talian.

“Inisiatif ini mendidik pengguna internet khususnya dalam kalangan pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.

“Sesi perkongsian KDB turut melibatkan guru dan ibu bapa supaya mereka dapat menyampaikan mesej
keselamatan kepada kanak-kanak termasuk golongan kurang upaya dan mereka yang berisiko terdedah kepada ancaman dalam talian,” ujarnya.

MCMC memaklumkan, pelaksanaan MIV ini memperlihatkan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan.

“Inisiatif MIV turut diperluaskan di komuniti yang mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional.

“Pada tahun lalu, sebanyak 498 program MIV telah dilaksanakan di seluruh negara dengan capaian audiens lebih 2.3 juta.

“Sementara itu, bagi program KDB pula, 569 program dilaksanakan tahun lalu dengan capaian audiens melebihi 540,000,” kata kenyataan itu.

MCMC akan terus memperhebatkan program advokasi bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.

Individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan MIV boleh mendaftar di https://miv.mcmc.gov.my/en/application/registration. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI