fbpx

Suhakam bantah hukuman mati 6 pesalah kes Zulfarhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zulfarhan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membantah hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Menerusi kenyataan Suhakam, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah tersebut, suruhanjaya tersebut berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

“Atas dasar tersebut, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

“Suhakam mengucapkan takziah kepada keluarga Zulfarhan dan maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

“Bagaimanapun gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman,” katanya hari ini.

Selasa lalu Kosmo! melaporkan, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Menurut kenyataan Suhakam, ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan tersebut menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.

“Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas tersebut, tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.

“Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI