KUALA LUMPUR – Serangan siber yang semakin meningkat pada setiap hari merupakan satu fenomena yang dihadapi bukan sahaja dalam aspek pertahanan tetapi dalam sektor-sektor yang lain juga.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa yang penting adalah kekuatan dan kemampuan barisan pertahanan negara untuk menangani masalah siber tersebut.
Ujarnya, perhatian kepada keselamatan siber sememangnya diberi perhatian kerana pada masa akan datang ia bukan lagi ancaman tradisional kepada bidang pertahanan negara.
“Di negara ini kita memang beri perhatian dan fokus untuk mempertingkatkan pertahanan kerana teknologi berubah dan membangun dengan begitu pantas sekali.
“Jadi sebab itu kita ada pakar siber dan macam-macam. Kita kena tahu teknologi apa yang ada dan kena tahu bagaimana serangan berlaku.
“Paling penting, tidak wajar ada jurang dalam menjayakan pertahanan kita dan sebagainya,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Energy & Facilities Sdn. Bhd. (UEFSB) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), di sini hari ini.
Mac lalu, Mohamed Khaled berkata, sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengakui terdapat peningkatan siber terhadap Malaysia pada setiap hari dari semua sudut melibatkan pelbagai pihak.
“Saya akui, serangan siber itu sememangnya meningkat pada setiap hari. Akan sentiasa ada. Ada yang nak ganggu kita (negara), ada yang nak tahu apa yang kita sedang lakukan, ada juga yang nak dengar strategi kita dan bermacam lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE