fbpx

Sempat ajar rakan syahadah sebelum maut nahas tiga motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farihan Haikal (kiri) menunjukkan gambar Muhammad Shahrul Huzaimi manakala rakannya, menunjukkan gambar Muhammad Alif Haikal ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pasir Mas hari ini. FOTO ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

PASIR MAS – Seorang remaja sempat mengajar sahabat baiknya mengucap sebelum maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Hadapan Halal Hub, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, Muhammad Alif Haikal Abd. Rahman dan Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd. Azman yang masing-masing berusia 17 tahun meninggal dunia manakala seorang lagi rakan mereka, Bilal Alif Mohd. Faizal, 19, cedera parah.

Farihan Haikal Mohd. Rasdi, 17, berkata, sebelum kemalangan berlaku, dia bersama ketiga-tiga mangsa dan beberapa rakan lain bermain ‘mobile game’ di telefon pintar masing-masing kira-kira pukul 9 malam di Dataran Lubok Jong di sini.

Menurutnya, selepas lebih dua jam berada di situ, tiga rakannya itu terus bergerak dengan menunggang motosikal masing-masing menghala ke Jalan Hadapan Halal Hub.

“Selang beberapa minit kemudian, saya menyusul mengikut mereka, namun terdengar bunyi dentuman yang kuat. Saya terus memecut motosikal ke lokasi mereka berada, tetapi keadaan di situ sangat gelap.

“Kemudian saya nampak ketiga-tiga rakan sudah bergelimpangan di atas jalan dengan masing-masing berlumuran darah. Saya terus menghampiri Muhammad Alif Haikal dan mengajarnya dua kalimah syahadah, namun dia sudah tidak bergerak,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Pasir Mas di sini hari ini.

Farihan Haikal memberitahu, dia melihat keadaan Muhammad Alif Haikal yang dikenalinya sejak berusia tujuh tahun itu sudah putus paha selain usus perutnya terkeluar.

Sementara itu, Mohd. Azman Ariffin, 48, yang merupakan bapa kepada Muhammad Shahrul Huzaimi berkata, dia mengetahui anaknya terlibat kemalangan pada pukul 12.30 tengah malam tadi selepas dihubungi salah seorang rakan arwah anaknya.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangka Muhammad Shahrul Huzaimi hanya terlibat nahas, namun dia kemudian dimaklumkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia.

“Arwah sempat makan malam selepas menunaikan solat maghrib di rumah sebelum keluar dengan rakan-rakannya. Dia memaklumkan kepada ibunya untuk berjumpa dengan kawan-kawan sekolah.

“Muhammad Shahrul Huzaimi merupakan anak yang baik. Meskipun masih bersekolah, arwah sudah pandai mencari pendapatan sendiri selain membantu kewangan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa menunggang motosikal dari arah Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas sebelum bergesel sesama sendiri sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurutnya, Muhammad Shahrul Huzaimi yang menunggang motosikal jenis Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Alif Haikal menunggang Honda C100 maut semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Pasir Mas.

“Kedua-dua mangsa merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di sini manakala seorang lagi rakan mereka yang cedera parah masih dirawat di hospital.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua mangsa juga tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal,” ujarnya,” ujarnya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI