fbpx

‘Selepas 8 tahun, ini first time saya tengok semula surat ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surat layang yang ditulis Muhammad Aiman Aufa bagi menyelamatkan Zulfarhan Osman.

PETALING JAYA – “Setelah hampir lapan tahun, ini ‘first time’ (kali pertama) saya tengok semula surat ini. Lepas saya letak dulu, saya tidak pernah tengok sampai sekarang.”

Demikian kata Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi menerusi perkongsian di akaun Instagramnya hari ini.

Lelaki itu merupakan saksi pendakwaan kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang disebut-sebut pengguna media sosial selepas surat layang yang dihantarnya tular ketika ini.

“Tak tahu lah macam mana boleh sampai ke ‘public’ (umum). Apa-apapun al-Fatihah buat keluarga arwah. Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran itu hari ini.

Surat layang itu bertulis, ‘Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush (periksa) bilik 4-10 Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. Segera.’

Pada 28 Jun 2018, Muhammad Aiman Aufa yang ketika itu berusia 22 tahun mendedahkan kepada mahkamah bahawa dia menulis dua pucuk surat layang untuk memberitahu pihak atasan UPNM bahawa Zulfarhan Osman didera oleh rakan-rakannya.

Ia selepas dia melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompoh kehitaman dan darah di bilik 4-19 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.

Surat layang pertama diselitkan pada pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) pada 23 Mei 2017 dan surat layang kedua pula diletakkan di bawah pintu bilik jurulatih pada keesokan harinya.

Di ruangan komen, orang ramai berterima kasih kepada Muhammad Aiman Aufa kerana tindakannya menulis surat layang tersebut bagi menyelamatkan Zulfarhan Osman.

“Kamu ke yang tulis surat layang masa arwah Zulfarhan. Terima kasih dik. Kamu dah jadi orang berguna,” kata pengguna Instagram.

“Terima kasih orang baik, terima kasih sebab prihatin pada kawan anda. Sumpah ‘salute’ gila,” kata seorang lagi pengguna.

“Terima kasih Aiman sebab hantar surat layang tu. Sekarang kawan kau dah terbela. Moga satu keluarga dirahmati selalu,” kata netizen lain.

Berdasarkan perkongsian gambar dan video oleh Muhammad Aiman Aufa di akaun Instagram peribadinya, dia sudah berumah tangga tahun lalu.

Selasa lalu Kosmo! melaporkan, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI