fbpx

RUU Kanun Keseksaan, Tatacara Jenayah perkasa siasatan akaun keldai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli

KUALA LUMPUR – Penggunaan akaun keldai dikenal pasti sebagai faktor yang menjadi ‘saluran’ kepada semua kes-kes penipuan yang berlaku di seluruh negara sehingga mengakibatkan kerugian berbillion ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya juga menyaksikan terdapat perubahan dalam modus operandi melibatkan kes akaun keldai.

“Kini sindiket menggunakan akaun keldai syarikat berbanding dengan akaun keldai individu dalam melangsungkan penipuan mereka.

“Trend ini berlaku kerana jumlah yang terlibat adalah semakin besar yang mana pindahan wang boleh dilakukan dalam jumlah yang besar sebagai transaksi perniagaan yang kononnya ‘legitimate’.

“Selalunya kepada syarikat pembekal seperti elektrik, perdagangan am, teknologi maklumat (IT), peralatan dan lain-lain,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau mencadangkan supaya pendaftaran perniagaan diperketat dengan menekankan aspek KYC (Kenali lPelanggan Anda) terhadap syarikat-syarikat yang dibuka terutamanya terhadap lembaga pengarah atau pentadbir serta setiausaha syarikat berkenaan.

“Buat sekian lamanya tiada undang-undang khusus berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan akaun keldai menjadikan ia terus digunakan dalam jenayah penipuan.

“Melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai lalu, isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai ini akan dapat diperkasakan.

“Alhamdulillah, perkembangan ini merupakan satu langkah yang amat positif dan PDRM percaya, setelah diwartakan kelak, undang-undang ini akan menjadi satu mekanisme berkesan dalam usaha menangani penggunaan keldai akaun sekaligus mengurangkan berlakunya jenayah penipuan,” ujarnya.

Pindaan undang-undang ini melibatkan penambahan beberapa peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan.

Jelasnya, peruntukan ini adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang kaedah pembayaran.

“Bagi pindaan Kanun Tatacara Jenayah, akan melibatkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan.

“Justeru, kita menjangkakan peranan NSRC (National Scam Response Center) yang telah diwujudkan sejak Oktober 2022 dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan setelah undang-undang ini dikuatkuasakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI