fbpx

Prosiding LTAT: Dah terima undangan, saya akan hadir – Mohamed Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU antara UEFSB dan BHPetrol di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIQIEN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan beliau sudah menerima undangan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), 7 Ogos depan.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama malah akan menghadiri prosiding tersebut kira-kira dua minggu lagi.

“Saya dah terima undangan dan maklumam daripada PAC. Difahamkan prosiding tersebut akan bincangkan perkara dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) untuk tahun 2022.

“Kalau tak salah saya, LKAN tersebut berkisar kepada hal-hal yang ada hubung kait dengan LTAT. Ya saya akan hadir, apa sebab saya tak hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Energy & Facilities Sdn. Bhd. (UEFSB) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), di sini hari ini.

Terdahulu, pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata akan memanggil Mohamed Khaled dan tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos depan.

Mereka yang lain adalah bekas Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar.

Prosiding LTAT dijadualkan bersambung pada 7 Ogos depan setelah PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lepas.

Prosiding itu bagi mendapatkan penjelasan susulan pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam LKAN Mac lepas.

LKAN mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiarinya berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Bhd (RM768 juta) dan Pharmaniaga Bhd (RM44 juta). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI