SAINGAN Liga Super mungkin kehilangan ‘prestij’ selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berpotensi untuk menarik balik slot automatik ke kejohanan peringkat benua ekoran konflik gaji yang melanda ketika ini.
Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar yang mahu pihak pengurusan tampil bertanggungjawab menyelesaikan segera ‘barah’ dalam pasukan.
Menurut Azlan, sudah tentu perkara tersebut boleh dianggap serius jika AFC sudah mula bersuara dan dalam masa yang sama mencemar imej bola sepak Malaysia.
“AFC satu badan bola sepak yang utama di benua Asia. Kita tahu setiap syarat mereka sangat tegas dan perlu ambil serius serta dipatuhi oleh semua pihak.
“Jika hukuman (tarik balik slot Asia) diberikan, sudah tentu ia menjejaskan prestij Liga Super. Lebih teruk, ia menjejaskan nama baik Malaysia khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (selaku ahli gabungan AFC).
“Selain itu, situasi tersebut juga bakal menyaksikan saingan liga kehilangan seri dengan pemain import luar juga pasti tidak berminat untuk main dalam saingan tempatan.
“Situasi ini cukup berbeza dengan apa yang dialami sekarang kerana Liga Super antara destinasi pilihan buat pemain-pemain import kerana Malaysia adalah negara yang aman serta maju buat mereka,” katanya kepada Kosmo!
Menerusi satu laporan, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John mengesahkan sudah membuka kertas siasatan terhadap FAM dan pengelola liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menurut Windsor dalam laporan terbabit, slot Asia yang diberikan pada kancah Liga Super boleh ditarik jika FAM dan MFL dihalang untuk memberikan lesen kebangsaan buat pasukan yang bertanding pada masa akan datang.
Buat masa ini, Malaysia diberikan satu slot automatik ke kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elit dan satu pasukan lagi bertanding dalam saingan ACL 2.
Kosmo! sebelum ini melaporkan FAM sedikit resah apabila AFC mula memantau perkembangan Liga M dengan tunggakan gaji yang tular sejak awal minggu ini.