HULU SELANGOR – Pihak polis percaya punca pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah berkaitan perselisihan perhubungan mangsa dan suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan dituduh atas kesalahan membunuh di Mahkamah Kuala Kubu Bahru, esok.
“Kes Nur Farah sudah selesai dan dapat arahan untuk tuduh, esok (suspek) akan dituduh di mahkamah.
“Kita percaya (motif pembunuhan) ada kaitan perselisihan perhubungan,” katanya selepas menghadiri Karnival Pencegahan Jenayah di Masjid Bandar Utama, Batang Kali, hari ini.
Tambah beliau, punca kematian mangsa masih belum diperoleh kerana masih dalam siasatan pihak hospital.
“Perlu tunggu keputusan makmal untuk rumuskan punca kematian,” katanya.
Mengulas berhubung jumlah bahan bukti diperoleh pihak polis, Hussein memaklumkan jumlah tersebut cukup untuk menuduh suspek.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suspek ditahan 15 Julai pada hari yang sama penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
Polis telah menemukan telefon pintar di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor manakala beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Polis menemukan dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi kad pengenalan milik Nur Farah
Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.
Jenazah mangsa yang dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dituntut pada Khamis lalu seterusnya dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pahang. -KOSMO! ONLINE.