PARIS – Dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Chelsea bersedia untuk ‘mengganggu’ rundingan Paris Saint-Germain untuk mendapatkan khidmat penggempur sensasi Napoli, Victor Osimhen.
Juara Ligue 1 Perancis itu dilapor berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Nigeria itu, namun urusan perbincangan tersebut dilaporkan tidak berjalan dengan begitu baik.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano mendedahkan bahawa PSG enggan untuk menggunakan klausa pelepasan bernilai £109.5 juta (RM662.44 juta) untuk mendapatkan Osimhen kerana beranggap nilai tersebut terlalu tinggi.
Napoli pula dilapor bersedia untuk mengurangkan harga tersebut, namun dengan syarat mereka diberikan seorang pemain yang dimasukkan sebagai terma perpindahan dengan menamakan Lee Kang-in sebagai individu yang mereka kehendaki.
Namun, PSG tidak berhasrat untuk melepaskan pemain berusia 23 tahun itu yang baru berhijrah ke Parc des Princes dari Mallorca pada musim panas tahun lalu.
Skuad kendalian Luis Enrique itu memberikan tawaran baharu apabila bersedia melepaskan dua pemainnya, Carlos Soler dan Nordi Mukiele untuk diberikan kepada Napoli, namun kelab itu pula menolaknya.
Kesukaran rundingan antara PSG dan Napoli itu menyebabkan Chelsea dan Arsenal bersedia untuk bersaing dan mencuba nasib dengan mengemukakan beberapa tawaran kepada kelab Itali itu untuk membenarkan Osimhen berhijrah ke London. – AGENSI