GEORGE TOWN – Seorang pelacur warga Loas sanggup menawarkan suapan RM16,000 sambil merayu dan menangis teresak-esak supaya tidak ditahan Jabatan Imigresen (JIM) negeri di sebuah hotel di Jalan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Wanita yang mengenakan kostum ‘anime’ menyerupai karakter ‘Marin Kitagawa’ itu antara tiga pelacur warga asing yang ditahan dalam operasi bermula pukul 9 malam.
Dua lagi wanita iaitu warganegara Thaliand dan Vietnam pula berpenampilan ala karakter anime dan jururawat.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, serbuan ke atas hotel tersebut dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti pelacuran yang beroperasi disebalik hotel berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan awal mendapati ketiga-tiga wanita berusia 25 hingga 29 tahun itu baru menetap di negara ini sejak dua minggu lalu dan menawarkan khidmat seks menerusi tempahan di laman web bermula pada harga RM240.
“Kita tidak menolak kemungkinan yang wanita terbabit dilindungi oleh sindiket manakala pelanggan pula terdiri dalam kalangan VIP.
“Ketika serbuan, kesemua wanita terbabit berada di dalam bilik masing-masing,” katanya di sini.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut adaah telefon bimbit, minyak pelincir, kondom, wang tunai, pil perancang yang kesemuanya ditemui dalam bilik tiga wanita berkenaan.
Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE