KUALA LUMPUR – Kertas undi semasa pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun sekali antara koleksi diraja yang dipamerkan di Pameran Raja Kita di Muzium Negara di sini.
Pameran bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 itu bermula 26 Julai hingga 29 September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, Pameran Raja Kita merupakan salah satu program yang dimasukkan sebagai salah satu dari tujuh acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
“Antara koleksi lain yang dipamerkan termasuklah Regalia Persekutuan seperti Cogan Alam dan Cogan Agama.
“Dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta manuskrip menerangkan dokumen undang-undang yang telah digunakan dari zaman Kesultanan Melaka seperti Undang-Undang Laut Melaka turut dipamer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Pameran Raja Kita di Muzium Negara, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Baharin, paling Istimewa untuk pameran kali ini adalah koleksi Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa upacara kemahkotaan baginda pada 2015 turut dipamer.
Jelasnya, turut dipamerkan segmen negeri merujuk kepada sejarah dan kebudayaan Negeri Johor seperti manuskrip Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, koleksi peribadi yang menunjukkan minat dan hobi Baginda Tuanku berdua seperti kereta Morgan, motor Harley Davidson dan karya seni baginda Raja Permaisuri.
Kamarul Baharin berkata, pihaknya menyasarkan 20,000 pengunjung sepanjang Pameran Raja Kita berlangsung dan masuk secara percuma.
Tambahnya, Pameran Raja Kita telah dilaksanakan bermula sejak 1980 semasa pertabalan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7.-KOSMO! ONLINE