fbpx

Olimpik Paris : Permulaan positif trio memanah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATLET memanah wanita negara, Syaqiera ketika beraksi dalam penentuan ranking di Sukan Olimpik Paris 2024 di Esplanade Des Invalides hari ini. -FB OCM

KUALA LUMPUR – Trio memanah wanita negara memulakan kempen di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan langkah positif apabila menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan yang bersaing pada sesi penentuan ranking berpasukan wanita sebentar tadi.

Pasukan negara yang diketuai Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil masing-masing bekerja keras untuk mendapatkan panahan terbaik dalam aksi penentuan ranking tersebut sebelum mengumpul 1918 mata keseluruhan.

Hasil keputusan tersebut, trio negara dijadual bertemu Indonesia pada aksi saringan 1/8 pada Ahad ini.

Lebih manis, pada penentuan ranking individu wanita, Syaqiera yang membuat penampilan kedua di Paris 2024 selepas Tokyo 2020 menampilkan panahan terbaik sejurus mencipta catatan peribadi baharu dengan 663 mata di Invalides sekali gus menduduki tangga ke-14 daripada 64 peserta keseluruhan.

Hasil keputusan tersebut, Syaqiera dijadual bertemu pemanah dari Moldova, Alexandra Mirca di saringan 1/32 pada Selasa ini.

Dalam pada itu, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi sedikit bergelut ketika membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik apabila menamatkan saingan di tempat ke-50 dengan 633 mata manakala Nurul Azreena Mohamad Fazil mengumpul 622 mata untuk berada di ranking ke-60.

Ariana dijadual bertemu pemanah dari Itali, Chiara Rebagliati pada saringan 1/32 pada Khamis ini manakala Nurul Azreena bertemu Elif Berra Gokkir dari Turkiye.

Jurulatih memanah kebangsaan, Norizham Ishak yang berada di Paris ketika ini menegaskan bahawa skuad memanah negara bermula dengan baik dan mereka akan terus melakukan terbaik esok.

“Hari ini kita berjaya menempatkan kedudukan pasukan di tempat ke-10 daripada 12 pasukan. Kita akan berjumpa Indonesia di pusingan pertama nanti untuk acara berpasukan. Pada hari ini juga, Syaqiera berjaya mencipta catatan peribadi baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Sementara itu, pasukan Korea Selatan yang diketuai, Lim Sihyeoh, Nam Suhyeon dan Jeon Hunyoung mencuri tumpuan apabila mendominasi saingan tersebut selepas mencatat rekod baharu Olimpik dengan mengumpul 2046 mata manakala China di kedudukan kedua, 1996 mata. -KOSMO ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI