BANGKOK – Polis menangkap seorang lelaki Thailand kerana membakar Balai Polis Pak Kret di wilayah Nonthaburi dekat Bangkok, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Insiden itu pada mulanya dikatakan berpunca daripada litar pintas sebelum rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) mendedahkannya sebagai perbuatan khianat.
Kebakaran berlaku di tingkat dua Balai Polis Pak Kret yang digunakan untuk menyimpan fail kes, kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) pada Selasa minggu lepas.
Anggota-anggota polis sempat memindahkan tiga tahanan yang berada di dalam lokap di tingkat satu balai berkenaan sebelum pasukan bomba berjaya mengawal api dalam masa 30 minit.
Selepas meneliti rakaman CCTV pada hari kejadian, polis mendapati balai tersebut dibakar oleh seorang lelaki. Suspek warga Thailand itu kemudian dikenal pasti sebagai Patiwat dan berusia 28 tahun.
Dalam rakaman CCTV, Patiwat dilihat meletakkan motosikalnya di sebuah kedai kopi berhampiran dan berjalan ke tingkat dua bangunan itu dengan membawa botol berisi petrol di tangannya.
Dia menuang petrol ke atas simpanan fail kes, membakarnya dan meninggalkan tempat kejadian dengan motosikalnya.
Patiwat kemudian menukar nombor plat motosikal dan pakaiannya sebelum melarikan diri lagi menuju ke kejiranan Mueang Thong di wilayah Nonthaburi. Polis menahannya semalam di Soi Nawamin 70, dekat Bangkok.
Polis belum dapat mengenal pasti motif di sebalik tindakan Patiwat tetapi percaya ada pihak mengupahnya supaya membakar balai polis itu untuk memusnahkan beberapa dokumen penting.
Patiwat pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 218 Undang-undang Jenayah kerana membakar bangunan yang menjadi harta awam.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup, penjara lima hingga 20 tahun, atau hukuman mati. – AGENSI