fbpx

Kadar kanak-kanak tidak sekolah rendah menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kadar kanak-kanak yang tidak mendapatkan pendidikan sekolah rendah menunjukkan trend penurunan daripada tahun 2019 hingga tahun 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan (KPM), Wong Kah Woh berkata, sebanyak 1.86 peratus kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sekolah rendah pada tahun 2019.

“Peratusan ini menurun kepada 0.89 peratus pada tahun 2023. Dengan kata lain data enrolmen bagi anak anak kita ke sekolah rendah adalah sebanyak 99.11 peratus,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol berhubung statistik kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan sekolah rendah dalam tempoh dua tahun yang lepas dan tahun semasa.

Kah Woh berkata, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan setiap ibu bapa perlu memastikan anak mereka yang telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah.

Menurut beliau, ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan wajib iaitu sehingga tahun enam.

“Pada tahun 2003, iaitu pada tahun apabila dasar pendidikan wajib dilaksanakan, kadar penyertaan murid sekolah rendah ialah 92.90 peratus.

“Setelah 10 tahun dasar ini berkuatkuasa kadar penyertaan murid sekolah rendah telah meningkat kepada 99.11 peratus pada tahun 2023,” katanya.

Tambah beliau, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut memfokuskan usaha menangani dan menyelesaikan isu-isu keciciran murid pada semua peringkat pendidikan.

Ujar beliau, KPM juga mempunyai jalinan kerjasama dengan kementerian lain melalui platform Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Keciciran Murid di Sekolah (JTMIKMDS) – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI