TUMPAT – Seorang wanita nekad berhenti kerja kerana ingin menjaga ibunya yang kini menghidap penyakit buah pinggang kronik, selain kencing manis, jantung dan kolestrol.
Noor Roslinaini Mat Isa, 42, berkata, dia berbuat demikian bagi memberi tumpuan kepada ibunya, Saudah Yusoff, 65, yang kudung sebelah kaki akibat penyakit kencing manis dan perlu menjalani rawatan dialisis air empat kali sehari di rumah.
Sebelum ini, Noor Roslinaini bekerja sebagai tukang sapu di Kota Bharu dekat sini dan pulang ke rumah pada waktu rehat untuk melakukan dialisis sebelum bergegas semula ke tempat kerja.
“Seminggu saya berulang alik dari tempat kerja di Kota Bharu, akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga ibu sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lambor, di sini kelmarin.
Terdahulu, Saudah menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Group Amal Ghifari Charity.
Menurut Noor Roslinaini yang mempunyai tiga orang anak, ibunya pernah menempuh waktu kritikal apabila terkena serangan jantung dan koma selama sebulan pada Januari
lalu.
Katanya, doktor memaklumkan ibunya mempunyai peluang hidup selama 10 hari, tetapi dia bersyukur kerana keadaannya pulih selepas itu. Kemudian Ibunya disahkan pula
menghidap buah pinggang kronik tahap 5.
Ujarnya, selagi ada kudrat, dia mahu berbakti kepada ibunya yang kini memakai lampin pakai buang 24 jam.
Katanya, perbelanjaan membeli lampin pakai buang agak besar iaitu RM1,000 sebulan.
Biarpun ibu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi tidak mencukupi, iaitu RM300.
“Saya memohon ada pihak tampil memberi sumbangan memandangkan suami hanya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Roslinaini di talian 011-2866 6461 atau terus menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300241000061942 atas nama Muhamad Ismail.