fbpx

K2

Hukum kopi diproses dalam tong arak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proses kopi dalam tong arak atau dikenali sebagai ‘barrel ages coffee’ dipercayai mula dilakukan sejak tahun 1800-an. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, apakah hukumnya meminum kopi yang diproses di dalam tong arak bagi mendapatkan aroma kopi yang lebih lazat?

Jawapan: Dari sudut rantaian bekalan kopi, terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk memproses kopi bermula daripada tanaman sehinggalah ia menjadi minuman.

Antaranya seperti pembenihan biji benih (planting), penuaian ceri kopi (harvesting the cherries), pemprosesan ceri kopi (processing the cherries), pengeringan biji kopi (drying the beans), pengisaran biji kopi (milling the beans), mengeksport biji kopi (exporting the beans), pemanggangan kopi (roasting the coffee), pengisaran kopi (grinding the coffee) dan pembancuhan kopi (brewing the coffee).

Dalam pada itu, terdapat juga teknik atau kaedah lain yang digunakan bagi meningkatkan kualiti biji kopi dan kopi yang bakal dihasilkan.

Antaranya adalah dengan menggunakan kaedah seperti ‘barrel-aged’.

Dari segi bahasa, ‘barrel aged coffee’ merujuk kepada salah satu kaedah pemprosesan biji kopi yang menggunakan sebuah tong atau bekas khas diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi seperti daripada pokok oak.

Bekas ini juga pernah digunakan sebelumnya bagi proses pembuatan arak. Terdapat beberapa istilah lain yang turut digunakan dengan merujuk kepada jenis arak seperti whiskey barrel, wine barrel, rum barrel, bourbon barrel dan lain-lain.

Dari segi sejarah, kaedah pemprosesan kopi menggunakan tong arak telah bermula sejak awal kurun ke-19 lagi iaitu sekitar tahun 1800-an.

Pada ketika itu, para penjelajah Eropah yang mengembara ke tanah Amerika Selatan turut membawa bersama biji kopi untuk dijadikan sebagai bahan minuman.

Bagi memastikan kualiti biji kopi tersebut dapat bertahan lama, mereka telah mencuba untuk mengawet biji kopi dengan menggunakan tong yang pernah digunakan bagi menyimpan dan memeram arak. Hasilnya, kaedah tersebut telah berjaya mempengaruhi aroma, rasa dan rasa akhir kopi (after taste), sekali gus menjadikannya lebih lazat berbanding dengan menggunakan kaedah pemprosesan biasa.

Kaedah ini kemudiannya turut dipraktiskan di negara-negara lain seperti Amerika Tengah dan Selatan, serta Asia Tenggara.

Bahkan, terdapat segelintir pengusaha dan penggemar kopi yang masih mengaplikasikan kaedah ini sehingga kini. Dengan perkataan yang lain, pemprosesan kopi menggunakan tong arak bertujuan mendapatkan manfaat daripada arak tersebut bagi menghasilkan kopi lebih berkualiti.

Pada asalnya, hukum meminum kopi yang diproses menggunakan kaedah dan bahan yang halal dan toyyiban adalah harus. Namun begitu, timbul persoalan berhubung status pengambilan kopi yang telah diproses daripada tong arak.

Adakah dibenarkan untuk meminum kopi yang diproses melalui tong itu?

Secara asasnya, syariat Islam telah menegaskan pengharaman arak menerusi dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Bahkan, arak juga termasuk dalam kategori najis menurut syariat Islam.

Sehubungan itu, hukum meminum kopi yang diproses daripada tong arak adalah haram sekiranya bertujuan mendapatkan kelazatan pada aroma dan rasa kopi.

Pengharaman ini adalah berasaskan kepada status arak sebagai sesuatu yang boleh memabukkan dan bernajis.

Selain itu, pemprosesan kopi melalui tong arak juga mengakibatkan percampuran antara perkara yang halal dengan perkara haram, lalu membawa kepada natijah hukum haram.

Berdasarkan kaedah fiqh: “Apabila bercampur antara halal dengan haram, maka hukumnya yang lebih mendominasi adalah haram.”

Pengambilan kopi yang diproses menggunakan tong arak adalah haram sekiranya berlaku percampuran antara biji kopi dengan molekul arak yang terkandung dalam tong tersebut.

Hal ini demikian kerana syariat Islam jelas melarang umat Islam daripada berurusan dengan arak berasaskan kepada ‘illah arak yang memabukkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI