JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan tiga sindiket mencuri kenderaan mewah yang telah bergiat aktif di negeri ini sejak kira-kira enam bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sindiket itu antara lapan sindiket curi kenderaan yang berjaya ditumpaskan pihaknya menerusi Ops Lejang yang dijalankan bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu.
Katanya, lapan tangkapan melibatkan tiga sindiket curi kenderaan mewah, manakala enam tangkapan melibatkan dua sindiket curi kenderaan lama dan 10 lagi tangkapan membabitkan tiga sindiket curi motosikal.
Menurutnya, modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah menggunakan peralatan berteknologi tinggi selain mengenal pasti kenderaan yang hendak dicuri sebelum memasang alat pengesan untuk diekori.
“Setelah memastikan kenderaan itu berada di lokasi sesuai, ahli sindiket bergerak akan dalam kumpulan kecil seramai dua atau tiga orang untuk melakukan jenayah tersebut.
“Apabila pintu kenderaan berjaya dibuka, mereka menggunakan alat untuk menghidupkan enjin termasuk menggunakan ‘jammer’ bagi menghalang signal GPS daripada kenderaan itu dikesan.
“Kesemua perbuatan itu dijalankan dengan pantas dalam tempoh kira-kira 30 saat sahaja,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, sindiket curi kenderaan mewah itu kemudian akan menggunakan laluan darat untuk membawa kenderaan itu keluar negara dan diedarkan kepada pembeli.
Antara kenderaan mewah yang dirampas termasuklah Chery Omoda 5, Toyota Alphard, Fortuner serta Mercedes Benz.
“Sejak Januari tahun ini, kita telah terima 69 laporan melibatkan kecurian kenderaan mewah dengan nilai kerugian sebanyak RM8.8 juta,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya berjaya menahan seramai 116 suspek termasuk enam warganegara asing sepanjang tempoh sebulan operasi itu dijalankan.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 59 tahun dengan 112 daripadanya lelaki manakala empat yang lain perempuan,” katanya. -KOSMO! ONLINE