fbpx

Golf amal YSB kumpul RM539,024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Puteri Intan Safinaz (duduk tengah) bergambar Bersama peserta pertandingan golf amal di Kelab Golf The MInes, Seri Kembangan semalam.

PETALING JAYA – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya meraih sumbangan sebanyak RM539,024 bersempena Kejohanan Golf Amal edisi ke-23 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan baru-baru ini.

Pengerusi YSB yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, objektif kejohanan golf amal itu adalah untuk mengumpul dana untuk semua program YSB yang memerlukan RM2 juta setahun demi kelangsungan pelaksanaan tanggungjawab pelbagai program sosialnya.

“Melalui dana yang dikumpul, kami telah dapat membantu ribuan orang yang memerlukan bantuan kewangan dan bantuan perubatan.

“Dalam soal kesihatan itu, sokongan anda telah membolehkan kami menawarkan bantuan perubatan dan pendidikan kesihatan kepada orang ramai. Program kami memberi tumpuan kepada penjagaan pencegahan & pemeriksaan kesihatan,” titah Tunku Temenggong Kedah dalam majlis itu.

Menyentuh program pendidikan, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, Projek Titian Bistari (PTB) atau Projek Jambatan Menuju Kecemerlangan merupakan salah satu program terulung YSB sejak 1999 yang memfokuskan kepada sekolah rendah terpilih di kawasan luar bandar.

Titah Tunku Temenggong Kedah, usaha itu berjaya melibatkan 67,140 pelajar kurang berkemampuan sehingga kini.

“Mulai 2019, program PTB telah beralih daripada kelas tuisyen percuma kepada penilaian berasaskan bilik darjah yang memfokuskan kepada Pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik),” titahnya.

Dalam pada itu, seramai 80 pemain menyertai kejohanan golf manakala sumbangan itu diraih daripada pelbagai pihak antaranya Yayasan AlBukhary dan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng serta Richiamo Coffee Sdn. Bhd.

Kejohanan golf amal itu turut diserikan dengan kehadiran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Che Puan Besar Kedah, Che Puan Besar Haminah Hamidun dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI