fbpx

Gabungan 23 anak syarikat KKDW bawa perubahan prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID menyampaikan perutusan Pemukiman Program Utama Kementerian KKDW di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

KOTA TINGGI – Tindakan menutup dan menggabung 23 anak syarikat agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang gagal menjana keuntungan membawa perubahan drastik kepada prestasi syarikat di bawah kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan awal yang diterimanya menyatakan 100 anak syarikat agensi yang masih dibawah kementerian telah menunjukkan keuntungan secara keseluruhannya.

“Kita telah dapat melepasi tahap syarikat yang menjadi ‘cost centre’ kepada ‘profit centre’, ini adalah merupakan kejayaan awal yg dapat dicapai oleh KKDW,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan di Pemukiman Program Utama KKDW di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar di sini hari ini.

Katanya, penggabungan anak syarikat yang gagal menjana keuntungan dengan syarikat yang untung juga telah dapat mengelakkan daripada pembuangan kakitangan.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, antara anak syarikat yang mencatat keuntungan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah Perda Venture dengan rekod keuntungan RM2.7 juta dan KEDA Group of Companies (RM243,706).

Beliau turut menyeru syarikat yang beroperasi di kawasan yang makmur dan sering mempunyai akses yang lebih baik kepada tenaga kerja yang mahir, teknologi maju dan sumber kewangan untuk turut membantu syarikat lain untuk berkembang dan mencipta keuntungan.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyeru warga KKDW untuk menerapkan nilai ekonomi sosial melangkaui metrik kewangan semata-mata.

“Ia merangkumi kesan yang lebih luas daripada aktiviti ekonomi kita terhadap masyarakat, menyepadukan kedua-dua faedah kewangan dan bukan kewangan yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan keseluruhan masyarakat desa,” katanya.

Katanya, bagi memastikan teras nilai sosioekonomi diwujudkan, KKDW mestilah mewujudkan peluang pekerjaan yang bukan sahaja menyediakan pendapatan tetapi memberikan nilai tujuan, kestabilan serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, KKDW harus memberikan akses pendidikan yang baik dan berkualiti bagi memperkasakan warga desa mencipta inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dalam meningkatkan keterangkuman sosial, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warga desa tidak terpinggir, diberikan peluang dalam aktiviti ekonomi seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat desa yang mempunyai suara dan peranan untuk dilaksanakan,” katanya.

Katanya anjakan inovasi dan teknologi akan menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan, sekali gus membolehkan limpahannya dinikmati seluruh rakyat di luar bandar dan tiada orang yang tertinggal.

“Yang terakhir, dengan akses kepada infrastruktur dan bantuan kewangan yang baik, ia bukan sahaja dapat menjamin kualiti hidup yang lebih sempurna tetapi mengangkat martabat mereka untuk menyumbang kepada negara.

“Kesimpulannya, konsep yang saya bawakan ini adalah pendekatan holistik dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kesaksamaan sosial,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI