LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukan itu masih belum cukup sempurna untuk mencabar Manchester City bagi perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kempen 2024/25 nanti.
Sebaliknya, beliau berpendapat masih banyak kerja perlu dilakukan, termasuk mendapatkan beberapa lagi pemain baharu yang memiliki pemahaman terhadap falsafah bola sepak diterapkan beliau.
The Gunners terus memantau pasaran perpindahan pemain ketika ini dengan mereka sedang melakukan persiapan bagi menghadapi aksi pramusim yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
“Kami perlu mencari jalan untuk terus meningkat. Dalam saingan Liga Perdana, anda perlu menjadi sebuah pasukan sempurna sekiranya mahu memenangi takhta kejuaraan dan itulah yang perlu kami lakukan.
“Saya percaya pasukan ini masih perlu diperkuatkan dari segala aspek. Saya tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kepakaran semua orang di kelab,” kata Arteta.
Dalam pada itu, beliau juga sudah memberikan maklumat terperinci kepada skuad pencari bakat bagi memburu khidmat pemain-pemain yang diperlukan sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup 1 September nanti.
“Kami tahu posisi mana yang perlu diperkuatkan bagi memastikan pasukan mampu untuk memberikan cabaran. Kami juga sedar pasukan masih kekurangan pemain, namun kami akan cuba lakukan yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI