fbpx

Dua pengurus bank antara 10 didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
10 individu didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu, hari ini, ekoran menganggotai kumpulan jenayah terancang membabitkan sindiket curi wang deposit tetap milik pelanggan berjumlah RM24.2 juta. FOTO IVAN AMIRUL/ KOSMO!

KOTA KINABALU – Dua pengurus bank antara 10 individu didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Kinabalu, hari ini, ekoran menganggotai kumpulan jenayah terancang membabitkan sindiket curi wang deposit tetap milik pelanggan berjumlah RM24.2 juta.

Menurut pertuduhan, tertuduh keempat, Iren Chin Nyuk Thien, 38, antara 26 April dan 13 Jun 2024 bertempat di cawangan MBSB dalam daerah Kota Kinabalu telah didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin J Langkan.

Seorang lagi pengurus bank yang juga tertuduh kelima, Christina @ Caraline Pianus Etip, 53, didakwa terlibat jenayah sama antara 9 Mei dan 17 Jun 2024.

Dalam pada itu, tertuduh kedua, Josepin J Langkan, 38, antara 26 April dan 17 Jun 2024, bertempat di cawangan MBSB dalam daerah Kota Kinabalu telah didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh dirinya sendiri.

Tertuduh pertama, T Subramaniam, 56, dituduh antara 9 Mei dan 4 Julai 2024 di cawangan bank sama didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin.

Nasir Abdul Rasid, 60, yang juga tertuduh ketiga bertempat di cawangan MBSB Kota Kinabalu antara 26 April dan 1 Julai 2024 turut didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan terancang sama.

Antara 17 Mei dan 3 Julai 2024, tertuduh keenam, P Sugumaran, 56, dituduh melakukan kesalahan sama manakala tertuduh ketujuh pula, Vireonis Jonok, 35, antara 5 Jun dan 26 Jun 2024 serta tertuduh kelapan, Leong Hin Ping, 62, antara 26 April dan 10 Julai 2024.

Tertuduh kesembilan, Hasran Magin, 46, dituduh melakukan kesalahan itu antara 26 April dan 1 Julai 2024 dan tertuduh terakhir, Mazlani Jenuary, 53, dituduh antara 26 April dan 4 Julai 2024.

Sementara itu, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan sementara sembilan tertuduh diwakili peguam masing-masing manakala Hasran disyorkan untuk melantik peguam bagi mewakili dirinya.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Sementara itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI