PETALING JAYA – Permohonan MyKid akan dibuka semula di semua Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula pada 29 Julai ini.
JPN dalam kenyataannya memaklumkan, permohonan MyKid sebelum ini ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah tersebut.
“Bagi yang telah membuat permohonan sebelum ini (mempunyai resit permohonan MyKid), namun cetakannya ditangguhkan, pemohon diminta untuk membuat pengesahan cetakan di portal rasmi JPN (www.jpn.gov.my) sebelum hadir membuat kutipan di Pejabat JPN yang telah dipilih.
“Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober. Selepas tempoh itu, status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula,” katanya hari ini.
JPN juga meminta kerjasama pemohon yang berkenaan bagi memastikan MyKid yang dicetak, akan dituntut oleh mereka sekali gus mengelakkan lambakan MyKid yang akan merugikan pihak kerajaan.
Mei lalu, media melaporkan isu cetakan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 lalu dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini secara berperingkat di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dipetik berkata, ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu. – KOSMO! ONLINE