fbpx

Bekas staf JAIM songlap gaji guru didenda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Seorang bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menipu bayaran gaji guru bernilai RM30,749.88, tujuh tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin, 39, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan pilihan pertama dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan seorang Guru Sambilan Tidak Terlatih (GSTT) untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakan jawatan berjumlah RM30,749.88 adalah tulen.

Tindakan secara tidak jujur itu telah mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang berkenaan yang tidak akan diserahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM dalam daerah Melaka Tengah antara 3 November 2017 hingga 8 November 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima atau dengan denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ketika kejadian bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan Unit PSM dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkhidmatan guru-guru agama bagi sekolah rendah dan menengah agama, hal berkaitan gaji, kontrak dan lain-lain.

Pada 27 Mei 2017, tertuduh telah menyediakan surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar dengan kaedah bayaran secara tunai dan resit rasmi kerajaan negeri Melaka kepada tertuduh dan tiga lagi orang guru sandaran tidak terlatih.

Perbuatan itu mendorong mereka menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM154,884.40 kepada tertuduh sedangkan bayaran tersebut tidak diterima oleh pihak JAIM.

Siasatan mendapati tertuduh telah membuat dan menandatangani surat tuntutan bayara balik gaji terlebih bayar tersebut dan mengeluarkan resit rasmi kerajaan negeri Melaka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali tidak membantah hukuman denda tanpa dipenjara, namun mencadangkan sekurang-kurangnya RM50,000 dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu nilai denda rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang perlu menyara tiga anak masih bersekolah selain ibu dan bapa tidak bekerja.

Tambahnya, tertuduh juga telah digantung tugas di bahagian sumber manusia sebuah kolej matrikulasi di Johor, malah berdepan berisiko dibuang kerja.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM50,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI