fbpx

Bekas pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pengimport daging didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan bersubahat mengemukakan invois palsu berjumlah hampir RM1 juta bagi menuntut kemudahan pembiayaan pembelian barang dagangan.

Bagaimanapun tertuduh Shamsuri Mohd. Yusof, 52, tidak mengaku bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, tertuduh
didakwa sebagai Pengarah Syarikat ZS Armin Sdn. Bhd. telah bersubahat dengan Eksekutif Akaun syarikat berkenaan, Mohd. Sazali Zainal dengan memberikan dokumen palsu iaitu lima invois Syarikat Smart F.V Marketing Sdn. Bhd. bertarikh 23, 24 dan 26 Ogos 2019, berjumlah RM998,600.

Ia bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing-i, untuk pembelian barang dagangan daripada syarikat Smart F.V kepada ejen Agrobank Berhad, sedangkan tiada pembelian barangan itu daripada syarikat Smart F.V.

Kesalahan itu didakwa di lakukan di Menara Agrobank, Leboh Pasar Besar di sini, pada 12 Septemner 2019, mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan iaitu sebagai pengarah syarikat ZS Armin telah bersubahat dengan Mohd Sazali, dengan menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu lima Invois syarikat Smart F.V bertarikh 23, 24 dan 26 Ogos 2019, berjumlah RM998,600 bagi tuntutan kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing-i daripada Agrobank Berhad, yang mana tertuduh ketahui ia palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan lokasi sama, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi memohon jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Zharif Nizamuddin yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM20,000 atas alasan anak guamnya yang kini berniaga ayam gunting menanggung isteri, enam anak serta ibu yang mengalami penyakit kencing manis.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh 15 Oktober depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI