fbpx

3.4 juta ahli KWSP buat pengeluaran Akaun Fleksibel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 3.4 juta atau 26.2 peratus daripada 13.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.9 bilion sehingga 19 Julai lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengeluaran tersebut bagaimanapun tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang KWSP.

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP telah mengalokasikan pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang antara dua hingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP.

“Seterusnya, strategi alokasi pelaburan di bawah SAA akan dikaji secara berkala untuk mengambil kira unjuran aset, liabiliti dan kedudukan kecairan KWSP serta mengambil kira kesan daripada penstrukturan semula akaun KWSP,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Puan Anna Bell @ Suzieana Perian berhubung peratusan pencarum yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) dan seterusnya membuat pengeluaran.

Amir Hamzah berkata, kewujudan Akaun Fleksibel namun pada masa sama menyaksikan RM5.6 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan yang memberi kesan kepada peningkatan simpanan ahli iaitu penambahan seramai 43,000 ahli baharu telah mencapai simpanan asas.

Terdahulu, beliau memaklumkan, setakat 19 Julai 2024, seramai 3.8 juta atau 29.3 peratus daripada 13.1 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun memilih untuk mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM12.6 bilion.

“Daripada segi implikasi kepada ekonomi negara pula, jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion iaitu kira-kira 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk tahun 2023.

“Namun begitu, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK negara akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecenderungan dalam cara perbelanjaan ahli,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, beliau berkata, pengurusan KWSP masih mampan walaupun sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum ketika pandemik Covid-19.

Jelas beliau, jumlah itu tidak termasuk pengurangan kadar caruman ketika Covid-19 yang diturunkan menyebabkan sebanyak RM10 bilion yang sepatutnya dicarum kepada KWSP tidak dimasukkan ke dalam akaun KWSP.

“Saiz dana KWSP masih besar. Setakat ini aset bawah kawal selia KWSP RM1.2 trilion, jadi walaupun pengeluaran besar tidak menjejaskan kewangan KWSP,” katanya.

Tambah beliau, sasaran simpanan asas pencarum iaitu memiliki RM240,000 apabila bersara juga sudah meningkat kepada 34 peratus sejak Mei lalu berbanding cuma 30 peratus selepas pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI