SEGAMAT – Tindakan berani 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja secara haram sebagai tukang urut dan pelayan pusat hiburan mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Ops Gegar di lima premis di bandar ini, Selasa lalu.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rudin Mohd Darus berkata, dalam serbuan bermula pukul 3 pagi itu, mereka ditahan terdiri daripada 12 wanita warga Thailand, Vietnam (11) dan lima warganegara Indonesia berusia 17 hingga 48 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan Ops Gegar itu turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun dipercayai penjaga premis.
“Tindakan penguatkuasaan ini dibuat susulan aduan awam yang mendakwa terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di negara ini.
“Secara keseluruhannya, seramai 48 warga asing termasuk seorang warga tempatan yang dipercayai merupakan penjaga premis berkenaan telah diperiksa dan ditahan,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 69(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan atas kesalahan 56(1)(d) kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Sebanyak 16 notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu di sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan. – KOSMO! ONLINE