SINGAPURA – Seorang pesohor platform TikTok memberikan 1,000 roti burger secara percuma kepada pekerja asing, lapor portal berita MSNews semalam.
Muhamad Iqbal Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Danny OneStar bertindak sedemikian daripada membuangnya kerana tidak dapat berniaga.
Dia tidak dapat berniaga selepas satu acara muzik yang dikenali sebagai Pesta Trifeca di Ekspo Singapura dibatalkan.
Muhamad berkata, dia berasa gembira selepas melihat para pekerja asing menghargai sumbangan kecilnya kepada mereka.
“Daripada membuangnya, lebih baik saya sumbangkannya.
“Saya juga sangat terharu kerana pekerja ini menerimanya dengan sepenuh hati.
“Mereka juga makan di hadapan saya sambil mengucapkan terima kasih walaupun saya hanya memberi mereka roti kosong,” kata Iqbal.
“Bagi saya, ini mengurangkan pembaziran dan saya menganggapnya sebagai satu bentuk amal kebajikan,” tambahnya.
Dalam video TikTok itu, Iqbal dilihat mengedarkan roti burger kepada para pekerja asing di Jurong. – AGENSI