fbpx

Terima kasih semua, kini Jia Hui masih letih, trauma – Keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi wanita tersebut menunjukkan Albertine selamat kembali ke pangkuan keluarganya.

PETALING JAYA – Kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai diculik di Iskandar Puteri, Albertine Leo Jia Hui pada Sabtu lalu dikhabarkan sudah kembali ke pangkuan keluarganya.

Menerusi satu hantaran Facebook yang dipercayai milik saudara kanak-kanak itu, memaparkan gambar mangsa bersama ibunya, Qieo Xin, 37, dan ahli keluarga terdekat lain di hadapan sebuah restoran di Johor.

“Terima kasih atas perhatian dan kebimbangan semua, bersyukur Albertine selamat serta kembali dalam dakapan keluarga.

“Albertine kini selamat, namun dia keletihan dan trauma disebabkan insiden yang berlaku beberapa hari ini. Kami akan bawa dia pulang untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga terdekat bagi memastikan keadaannya terus baik,” katanya.

Katanya lagi, pihak ibu bapa jua telah memberi kebenaran kepadanya untuk memuatnaik gambar tersebut dan sampaikan salam penuh kesyukuran kepada semua masyarakat yang membantu.

“Keluarga kakak saya juga memaklumkan agar saya beritahu semua orang yang keluarga kami berterima kasih kepada semua yang membantu selama ini,” tulis wanita itu lagi.

Albertine menerima rawatan di Hospital Selayang di Selangor pagi semalam dan kemudian dihantar pulang ke Johor Bahru di bawah pengawasan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum disatukan dengan keluarganya, petang semalam.

Polis Johor sebelum itu menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa, yang disedari kira-kira jam 8.30 malam Sabtu lalu. Dia ketika itu mengikut bapanya ke pusat perniagaan Eco Galleria di Iskandar Puteri.

Susulan tangkapan tiga suspek, kehilangan mangsa diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Dua lagi individu dilaporkan ditahan berkait kes itu, menjadikan keseluruhan lima suspek kini berada dalam tahanan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI