fbpx

Tambah nilai ILP dan Adtec, tarik ramai sertai TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahman (tengah) beramah-mesra dengan dua peserta pertandingan robotik pada Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET di ILP Kuala Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhasrat untuk memberi tambah nilai terhadap 32 institut latihan perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) seluruh negara bagi menarik lebih ramai menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, setiap ILP dan Adtec tersebut akan menawarkan kursus pengkhususan atau premier yang sesuai dengan permintaan industri di kawasan berkenaan.

“Setiap ILP akan menawarkan program premier yang mempunyai permintaan tinggi di kawasan tersebut.

“Contohnya di Pengerang (Johor), kita akan tumpukan program minyak dan gas,” katanya selepas merasmikan Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Timur di ILP Kuala Terengganu, Gong Badak di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, cadangan itu akan dibawa kepada perhatian Kabinet untuk diluluskan pada masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar kebolehpasaran lepasan ILP dan Adtec seluruh negara mencapai tahap 92 peratus.

“Sebanyak 82 peratus lepasan ILP itu bekerja dalam bidang kemahiran yang dipelajari manakala baki 10 peratus pula bekerja dalam bidang lain.

“Ia menunjukkan kita berada di landasan yang tepat untuk mengarusperdanakan TVET sekaligus melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara menjelang tahun 2030,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sesi kemasukan 32 ILP dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) seluruh negara yang dijangka bermula pada bulan depan juga mendapat sambutan menggalakkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI