LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) berisiko kehilangan pemain-pemain bintang mereka sekali lagi kepada Liga Arab Saudi (SPL) apabila kelab-kelab dari negara itu semakin ghairah untuk mendapatkan bintang ternama.
Arab Saudi terus menjadi destinasi popular dan sekurang-kurangnya 10 bintang kelab EPL ketika ini sedang diintai oleh pasukan dari negara telaga minyak itu.
Tawaran pendapatan yang lumayan terus menjadi ‘umpan’ digunakan kelab-kelab SPL untuk menarik bintang-bintang tersebut meninggalkan EPL dan memilih Arab Saudi sebagai destinasi baharu mereka.
Selepas berjaya ‘menggoda’ bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Neymar, kelab Arab Saudi masih terus menunjukkan minat untuk mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan lebih ramai pemain ternama.
Berdasarkan laporan, 10 pemain yang dikaitkan dengan kelab Arab Saudi melibatkan tiga penjaga gol berkelas dunua, Ederson (Manchester City), Alisson Becker (Liverpool) dan Kepa Arrizabalaga (Chelsea).
Musim lalu, Al-Ittihad pernah membuat tawaran £150 juta (RM907.3 juta) bagi mendapatkan khidmat Mohamed Salah dan kali ini bintang The Reds itu sekali lagi dikaitkan dengan kelab Arab Saudi memandangkan kontraknya kini hanya berbaki semusim saja lagi.
Selain itu, tonggak tengah City dan Belgium, Kevin De Bruyne menjadi pemain terbaharu dan dia sudah pun mengakui terbuka untuk kembangkan karier di Asia malah laporan turut menyebut pemain itu sudah pun bersetuju dengan terma dikemukakan oleh Al-Ittihad.
Lima lagi pemain yang dikaitkan akan ‘angkat kaki’ ke Arab Saudi adalah Gabriel Jesus, Richarlison, Casemiro, Lucas Paqueta dan Callum Wilson. – AGENSI