fbpx

RUU wajibkan pendidikan sehingga sekolah menengah akan dibentangkan – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah bakal dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, perkara itu sedang dibincangkan dan dimuktamadkan di peringkat KPM sebelum dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara bagi tujuan semakan dan ulasan perundangan.

Beliau berkata, seterusnya Draf Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan.

“Pindaan itu juga adalah lanjutan daripada persetujuan dasar oleh Jemaah Menteri yang telah pun diberikan pada bulan Jun lalu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. R. Nelson yang mahu Kerajaan menyatakan status dalam mewajibkan pengajian sekolah menengah di negara ini.

Kah Woh berkata, pindaan tersebut juga bagi melaksanakan dasar yang bertujuan mengurangkan keciciran pelajar.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Nelson mengenai status keciciran murid sekolah rendah, Wong berkata sehingga 31 Disember lalu, kadar enrolmen murid sekolah rendah adalah 99.11 peratus.

“Bagi mengelakkan isu keciciran ini, setiap tahun KPM menyediakan kira-kira 18 jenis bantuan sekolah melibatkan bantuan umum dan bantuan khusus. Contohnya bantuan pakaian seragam dan bantuan awal persekolahan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukan punca keciciran pelajar di sekolah .

Ini kerana katanya, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mengantikan peperiksaan itu dianggap peluang membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan berterusan di sekolah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI