PETALING JAYA – Penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini rata-rata berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah semalam.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati mereka meluahkan rasa marah terhadap sebuah kilang plastik yang menjadi punca pencemaran bahan terjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) seterusnya menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA).
Difahamkan, ada juga di antara penduduk Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa mengambil cuti kecemasan ekoran bekalan air masih belum pulih sehingga pagi ini.
Seorang pengguna aplikasi X dikenali sebagai Soreen berkata, trafik di Shah Alam pagi ini kelihatan lengang dan lancar berbeza dengan hari kebiasaan pada waktu bekerja.
“Harini ada cuti apa-apa ke? Kenapa Shah Alam sunyi sepi ni? Tempat parkir pun kosong,” ciapnya.
Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nazrin berkata, sudah dua hari dia mengambil cuti tanpa gaji ekoran tiada air sehingga menganggu urusan seharian.
“Kilang yang buat pencemaran air ni memang punca betul lah. Nak buat urusan susah. Kalau yang anak kecil, nak hantar pengasuh pun tak ada air. Nak masak pun tak boleh. Dah dua hari ni cuti tanpa gaji,” ciapnya.
Dalam pada itu, ramai pengguna menggesa agar pihak berkuasa mengenakan denda yang berat kepada kilang tersebut kerana menjadi punca bekalan air mengalami gangguan.
“Rumah saya dah ada air Subuh tadi. Daripada pukul 6 semalam tak ada. Cukup 12 jam. Kali ni agak perit, sebab tak sempat tadah banyak tong. Betul-betul menyusahkan. Semoga tindakan yang berat diambil kepada pihak yang bertanggungjawab,” komen Siti.
“Sejujurnya saya tak marah Air Selangor sebab tak ada air. Air Selangor dah buat tindakan yang cepat untuk kesan pencemaran air sebelum diagihkan ke semua rumah. Yang patut disalahkan adalah kilang tu,” ciap Arwa.
“Janganlah marah Air Selangor. Kalau Air Selangor tak tutup air, tak ke mati kita sebab guna air tercemar. Salahkan kilang yang bertanggungjawab tu,” ciap Natasha pula.
Semalam, Air Selangor dalam kenyataannya berkata, gangguan bekalan air berikutan insiden pencemaran mengakibatkan henti tugas sementara LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Kejadian pencemaran bau seakan asid di udara dan aliran berbuih di Sungai Kuang dikesan di Jalan Kampung Orang Asli, Kuang kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim pula berkata gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih Jumaat ini.
“Pengagihan air membabitkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula jam 6 petang semalam manakala tiga SSP berkenaan pula pada jam 8 pagi hari ini.
“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya. – KOSMO! ONLINE