fbpx

Penganjur himpunan Kedah Bebas Judi perlu maklum polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Satu perhimpunan aman Kedah Bebas Judi dijangka diadakan di sekitar daerah Kota Setar pada Jumaat ini. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan aman Kedah Bebas Judi pada Jumaat ini diingatkan supaya membuat pemberitahuan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, langkah itu termaktub dalam peruntukan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Antara syaratnya penganjur hendaklah memberi pemakluman kepada polis dengan mengemukakan borang dalam Jadual Keempat Seksyen 10.

“Ia turut menggariskan persetujuan pemunya dan penghuni tempat perhimpunan dan mematuhi garis panduan serta syarat yang ditetapkan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga ingin menekankan berkenaan perkara yang digariskan dalam Jadual Pertama Seksyen 3 akta sama iaitu kawasan larangan mengadakan perhimpunan, antaranya rumah ibadat, tempat pengangkutan awam serta bangunan seperti hospital dan sekolah.

“Sehubungan itu, kita meminta pihak penganjur agar mematuhi semua garis panduan yang diperuntukkan di bawah akta tersebut. Polis akan akan memudah cara sepanjang perhimpunan berlangsung sekiranya dimaklumkan lebih awal.

“Ia bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terpelihara tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.

Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau penganjur perhimpunan yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan 2012.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang sengaja menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam di daerah ini,” katanya.

Perhimpunan aman Kedah Bebas Judi itu dijangka diadakan di sekitar daerah Kota Setar selepas solat Jumaat dengan melibatkan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan Islam dan masyarakat setempat yang menyokong isu penutupan judi di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI