ALOR SETAR – Kedah akan melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat di Sungai Muda yang mencatatkan trend penurunan bagi mengelak gangguan bekalan air di negeri ini dan Pulau Pinang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu juga sebagai menunaikan permintaan Pulau Pinang yang meminta Kedah mengatasi masalah penyusutan paras air di Sungai Muda.
Selain itu kata beliau, pihaknya turut menerima permohonan operasi itu daripada Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Sehari dua ini kita akan dibuat pembenihan awan hasil permintaan daripada Lembaga Sumber Air, MADA dan SADA yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebanyak beberapa kali.
“Kita pun bersimpati jugalah dengan jiran kita (Pulau Pinang). Saya nampak gambar kekeringan di muka sauk, paras Sungai Muda ini surut, jadi 14 hari lepas dilepas 10 q (meter padu) air,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, pelepasan air akan dilakukan secara berkala sehingga paras air stabil untuk menghasilkan air terawat dan bersih.
“Sehingga paras air stabil untuk kita rawat hasilkan air bersih. Jadi saya nak mengesahkan bahawa memang Pulau Pinang bergantung pada Kedah tentang bekalan air, itu saja,” katanya. – KOSMO! ONLINE