fbpx

Jin Wei dalam ‘jagaan’ Rexy di Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIN WEI terpaksa beraksi tanpa kehadiran jurulatih disebabkan kuota kad akreditasi yang terhad. - MSN MALAYSIA

MESKIPUN berangkat ke Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa kehadiran jurulatih, Nova Armada, namun pemain badminton perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei tidak perlu berasa bimbang.

Ini memandangkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sudah berjanji dengan Nova bahawa beliau sedia mengambil tanggungjawab untuk membimbing bekas juara remaja dunia itu.

Nova berkata, pada awalnya beliau sedikit terkilan kerana tidak dapat menemani anak didiknya itu di Paris, namun perasaan kembali lega sebaik sahaja Rexy menyuarakan kesanggupan untuk ‘menjaga’ Jin Wei.

“Kalau nak cakap, memang perasaan agak sedih pada awalnya tetapi kembali lega selepas mengadakan perbincangan bersama Rexy. Beliau berjanji untuk membantu Jin Wei di sana.

“Sekarang saya tidak perlu risau lagi, ditambah pula saya sudah lama mengenali Rexy. Saya juga sudah berbincang dengan Jin Wei. Saya hanya membantunya, namun yang membuatkan dia bagus adalah diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Nova tidak dapat mengiringi Jin Wei ke temasya sukan terbesar dunia itu ekoran kuota kad akreditasi terhad yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Jurulatih dari Indonesia itu bagaimanapun menaruh sepenuh kepercayaan terhadap anak buahnya untuk sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dan melangkah ke suku akhir.

“Bagi saya, dia berada dalam kumpulan yang bagus kerana memang ada peluang untuk layak ke pusingan seterusnya. Sasaran diletakkan kepada Jin Wei adalah suku akhir.

“Sukan Olimpik memang agak berbeza tetapi saya lihat semangatnya ketika ini cukup bagus. Dia sentiasa memberikan komitmen 100 peratus dan tidak pernah terlepas menjalani latihan sejak tiga bulan lalu,” ujar Nova.

Pada Olimpik Paris nanti, Jin Wei diundi dalam Kumpulan H bersama pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun dan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan dengan juara kumpulan sahaja layak ke pusingan kalah mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI