fbpx

Guru pusat jagaan didakwa tendang, pukul budak autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Thinesh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. Foto oleh Syakir Radin/Kosmo!

PETALING JAYA – Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik di sebuah pusat jagaan kanak-kanak istimewa minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh M.Thinesh ,33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Mengikut pertuduhan, Thinesh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak istimewa di sini pukul 11.50 pagi pada 16 Julai lalu.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa sehingga selesai kes.

Semasa prosiding, peguam Y.Sharvin Nair yang mewakili tertuduh tidak membantah dengan jumlah jaminan dan syarat yang ditetapkan pihak pendakwaan.

Majistret Shahril Anuar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah sama iaitu RM1,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh 27 Ogos ini ditetapkan sebutan semula kes.

Minggu lalu media melaporkan seorang guru yang disyaki menendang dan memukul seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun di pusat jagaan di Kelana Jaya, di sini, direman tujuh hari untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata suspek berusia itu direman sehingga 25 Julai selain telah merekod keterangan ayah mangsa berusia 36 tahun.

Terdahulu Kosmo! melaporkan polis menerima satu laporan kejadian seorang guru disyaki memukul, menendang, dan menarik seorang kanak-kanak autistik sehingga terjatuh daripada kerusi.

Susulan itu, guru terbabit ditahan di kediamannya di Ampang, Selangor.

Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan pada tangannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI