fbpx

Dewan Negara: Program Wanita Dinamik perkasa golongan hawa berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) telah mengambil inisiatif dan merangka perancangan jangka masa panjang agar peserta Program Wanita Dinamik dapat dibantu dalam perniagaan yang diceburi.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kementerian itu melalui Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) telah memperkenalkan Program Wanita Dinamik sebagai penambahbaikkan kepada program Wanita Bangkit@KPWKM-MyKasih Kapital.

Katanya, penambahan elemen baharu bagi tahun 2024 ini telah menggabungkan inisatif memperkasa wanita yang merangkumi elemen ekonomi, keselamatan dan kesihatan.

“Sehubungan itu, antara inisiatif yang dirangka adalah menyediakan Kiosk KASIH YKN sebagai projek rintis di Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai platform pemasaran produk yang dilaksanakan melalui kerjasama di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Untuk itu, antara syarikat korporat yang telah menyumbang dalam penyediaan tapak niaga Kiosk KASIH YKN adalah seperti Prasarana Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Alliance Islamic Bank dan Public Islamic Bank,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad berkenaan perancangan jangka panjang KPWKM untuk memastikan peserta Program Wanita Bangkit memperoleh kejayaan dalam perniagaan yang diceburi mereka.

Noraini berkata, KPWKM juga mengadakan kerjasama dengan institusi latihan seperti GiatMara Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang untuk menyediakan kursus serta latihan jangka pendek kepada peserta yang memasarkan produk di Kiosk KASIH YKN.

“Turut dilakukan jalinan kerjasama antara agensi KPWKM melalui bimbingan keusahawanan, latihan serta meningkatkan pengetahuan peserta dalam perniagaan dengan menghubungkan peserta kepada Program Penjanaan Pendapatan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

“Kita juga bekerjasama dengan rakan strategik KPWKM iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memberi pendedahan dan membimbing peserta mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri (SKPS),” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI