PENYEDIA perkhidmatan dan penyelesaian alam sekitar, Alam Flora Enviromental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), yang merupakan anak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. di bawah Malakoff Corporation Berhad terus menerajui perniagaan insinerator di negara ini, dengan kejayaan Pengujian dan Pentauliahan (T&C) insinerator Pulau Pangkor, Perak.
Dari bulan Januari 2021 hingga Disember 2023, AFES telah memproses 12,084 tan sisa di Pulau Pangkor, yang mana fasiliti tersebut memiliki keupayaan memproses 20 tan sisa sehari.
Sejak mengambil alih pengoperasian insinerator berkenaan, banyak penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk meningkatkan kebolehpercayaan loji daripada tahap 50 peratus kepada 90 peratus menerusi perubahan komponen dan peralatan kritikal yang dikaitkan dengan ketersediaan rendah sebelum ini.
Ia antara lain termasuk sistem penyejukan serombong gas, sistem penghantar abu, sistem bekalan udara tanur berputar dan pembakar.
Tahap pelepasan turut bertambah baik apabila pelepasan karbon monoksida, iaitu petunjuk kepada pembakaran baik kini berada pada paras kira-kira 30 mg/Nm3, di bawah had kawal selia pada 50 mg/Nm3 (insinerator asal direka untuk melepasi had pelepasan Jabatan Alam Sekitar pada 125 mg/Nm3).
Disokong rawatan pelepasan gas serombong yang baik, pelepasan dioksin loji adalah pada bawah paras 0.1 ng/Nm3, mematuhi amalan piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
Kecekapan pembakaran sisa pepejal turut dinilai daripada tahap pembakaran abu.
Ketika AFES mula-mula mengambil alih pengoperasian, parameter pembakaran abu, dipanggil Kehilangan Penyalaan (Loss of Ignition, LOI) dilaporkan lebih daripada 25 peratus berbanding piawaian antarabangsa pada kurang lima peratus (karbon hitam pada abu menunjukkan kadar tidak terbakar sepenuhnya yang tinggi, menjadikan nilai LOI lebih tinggi).
Ini merupakan pencapaian besar kerana pembakaran sisa basah, yang biasanya mengandungi 60 peratus kadar kelembapan biasanya mengakibatkan pembakaran abu yang lemah.
AFES melakukan praanalisis dan berjaya mengenal pasti kaedah untuk memastikan T&C berjalan lancar dengan pembakaran yang baik, dicerminkan pembebasan karbon monoksida yang rendah secara berterusan dan mencapai kebolehpercayaan loji yang tinggi melebihi 95 peratus.
Sementara T&C insinerator di Pulau Pangkor turut berjalan lancar tanpa gangguan ketika musim Ramadan dan Aidilfitri tahun 2022.
Setelah dua barisan terakhir di Pulau Pangkor berjaya diuji dan ditauliahkan, insinerator mini yang dikendalikan AFES beroperasi sepenuhnya pada tahap ketersediaan loji yang tinggi dan kadar pelepasan baik.
Selama bertahun-tahun, AFES telah berkembang secara berterusan atas kepercayaan keperluan untuk menunaikan tanggungjawab memastikan kemampanan untuk generasi akan datang, dengan memainkan peranan dalam industri penyelesaian alam sekitar negara dan komitmen pada Matlamat Pembangunan Lestari.
Tumpuan AFES sentiasa tertumpu pada prinsip 3P, iaitu people (manusia) planet (bumi) dan prosperity (kemakmuran).
Pihak AFES percaya selaku sebuah organisasi, seandainya kepentingan manusia (kakitangan dan pelanggan) dan planet ini dijaga, kemakmuran akan hadir.
AFES juga percaya dalam pembangunan bakat tempatan, terutamanya jurutera tempatan untuk mengurus dan mengendalikan insinerator di Pulau Pangkor dengan menyediakan latihan teknikal dan pengetahuan kelestarian.
Selain itu, AFES percaya akan kepentingan inovasi bagi memastikan dapat bersaing dengan teknologi insinerator terkini untuk menyediakan penyelesaian sisa terbaik yang melangkaui jangkaan.
AFES berpandangan negara memerlukan lebih banyak insinerator dan melihatnya sebagai pilihan yang lebih lestari, sesuai dengan dasar pengurusan sisa pepejal bersepadu.
Dalam tempoh jangka masa panjang, insinerator mungkin terbukti sebagai pilihan lebih mampan kerana ia mampu menjana elektrik, air panas dan sejuk serta wap, selain lebih mampu milik.
Melalui perancangan dan reka bentuk yang betul, keseimbangan antara pemulihan material dan penjanaan tenaga mampu dicapai, sekali gus memenuhi objektif tersirat dalam dasar pengurusan sisa pepejal bersepadu.
Pada masa sama, insinerator juga mengurangkan kuantiti sisa antara 80 peratus dan 90 peratus dan hal ini kritikal untuk kawasan yang kekurangan tanah seperti Pulau Pangkor.
Ia juga secara relatifnya menghasilkan lebih sedikit Gas Rumah Hijau berbanding tapak pelupusan sampah yang menjana metana, bahan 21 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida, selain menghapuskan kuman dan patogen berbahaya lebih pantas dan mampu beroperasi sepanjang tahun dalam sebarang cuaca.
Cabaran pula adalah dari segi memproses sisa yang memiliki kadar kelembapan tinggi dan persepsi negatif penduduk.
Sebagai syarikat yang mengutamakan kemampanan, AFES berpendapat bahawa loji sisa kepada tenaga perlu dibina pada masa akan datang untuk mengurangkan penggunaan sumber sambil melupuskan sisa yang dihasilkan di negara ini.
Sementara itu, anak jati Pulau Pangkor, Muhammad Aiman Imran Muhammad Wayne, 29, berkata, sebagai penduduk asal pulau berkenaan, dia tidak melihat operasi insinerator di sana mengganggu kehidupan penduduk, malah kebanyakan pelancong sama sekali tidak menyedari akan kewujudannya.
“Tiada bau asap atau isu lain, mungkin disebabkan lokasinya yang agak jauh dari penempatan.
“Pada masa sama, baru-baru ini saya melihat kawasan insinerator berkenaan banyak ditambah baik berbanding masa lalu, ia kelihatan lebih bersih selain telah bertutup dengan pagar.
“Saya berharap kemudahan ini akan terus ditambah baik seiring dengan kemajuan sektor pelancongan di Pulau Pangkor, yang tentunya menghasilkan jumlah sampah yang semakin banyak setiap hari,” katanya.