KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 unit kontena yang dijadikan sebagai rumah kongsi dilaporkan terbakar dalam kejadian berhampiran Villa Wangsa Mas di Jalan Seri Wangsa 2, Wangsa Maju, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Timbalan Penguasa Bomba II, M. Letchumanan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi.
Katanya, sebanyak 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju serta balai bantuan BBP Jalan Tun Razak dan BBP Keramat bersama jentera diarah ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati terdapat kebakaran melibatkan rumah kongsi jenis kontena.
“Tindakan operasi pemadaman dengan menggunakan kaedah pemadaman secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran tersebut melibatkan sebanyak 56 unit kontena yang mana terbakar 100 peratus.
“Daripada 56 unit kontena, selain rumah kongsi, ada sebahagiannya dijadikan tempat penyimpanan barang manakala beberapa unit didapati kosong.
“Kebakaran dapat dikawal dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari. Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE