PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca panas tahap 1 di empat kawasan di Semenanjung.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, keadaan berkenaan membabitkan tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Kelantan.
“Kawasan terlibat adalah di Larut Matang dan Kuala Kangsar (Perak), Kuala Krai (Kelantan) serta Rompin, Pahang.
“Tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian mencecah 35 sehingga 37 darjah Celsius, sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” kata kenyataan itu.
Kosmo! terdahulu melaporkan, MetMalaysia meramalkan cuaca di rantau negara menjadi lebih kering dan kurang hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Ia susulan dua siklon tropika pada kategori taufan dan ribut tropika sedang aktif di timur laut Filipina dan Laut China Selatan berhampiran Pulau Hainan.
“MetMalaysia meramalkan keadaan cuaca signifikan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, keadaan dijangka kembali normal apabila dua siklon tropika ini melemah, mulai Sabtu ini,” jelas MetMalaysia menerusi kenyataan. – KOSMO! ONLINE