PETALING JAYA – “Saya tetap akan buat laporan polis bagi sematkan dalam otak awak yang awak ugut untuk merogol saya.”
Demikian amaran pelakon Diana Danielle yang tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sebaik menerima ugutan tersebut daripada seseorang dalam media sosialnya.
Pada masa sama, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 32, itu meminta individu terbabit memohon maaf atau diheret ke muka pengadilan.
“Apa yang awak katakan adalah sangat serius dan saya masih menunggu permohonan maaf.
“Jika tidak saya akan cari awak dan bawa kes ini ke mahkamah atas apa yang awak lakukan,” ujarnya lagi.
Berang dengan tindakan pelaku, pelakon filem Imaginur itu turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berpada-pada dengan tindakan atau komen ditinggalkan dalam media sosial.
“Hanya kerana kita mahu menjawab soalan seseorang tanpa tahu identiti, tidak bermaksud awak boleh cakap apa sahaja awak nak.
“Dengan senangnya saya boleh cari informasi peribadi, jangan pandang remeh dengan saya. Saya ambil berat tentang perkara ini,” jelasnya.
Sebelum ini, seorang individu meninggalkan kenyataan ‘saya bakal rogol awak’ dalam kotak soalan menerusi Instagramnya.
Begitupun, menyedari kesalahan dilakukan, individu tersebut terus memohon maaf kepada isteri kepada pelakon Farid Kamil itu.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada Diana mahu meneruskan hasrat membawa isu tersebut ke pihak berkuasa atau sebaliknya. – KOSMO! ONLINE