fbpx

Tangki bocor dari kilang plastik punca pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai LUAS melihat kebocoran tangki bahan berjadual dari sebuah kilang plastik yang menjadi punca henti tugas empat LRA.

SHAH ALAM – Kebocoran tangki sebuah kilang plastik menyebabkan pencemaran bahan terjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) seterusnya henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA).

Empat LRA tersebut adalah Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 serta SSP3).

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kejadian pencemaran bau seakan asid di udara dan aliran berbuih di Sungai Kuang dikesan di Jalan Kampung Orang Asli, Kuang kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kemudiannya telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan dan mitigasi segera.

LUAS juga telah menyelaras bersama pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) segera ke lokasi.

“Pemeriksaan LUAS di tapak mendapati punca bau seakan asid dan aliran tersebut adalah daripada sebuah premis kilang yang dipercayai memproses bahan acrylic dari pepejal kepada cecair untuk dikitar semula.

“Semakan lanjut LUAS bersama pihak JAS dan MPS di dalam premis berkenaan mendapati terdapat aliran efluen daripada kebocoran tangki menyebabkan bahan terjadual iaitu PMAA melimpah mengalir ke longkang dan parit sehingga ke Sungai Kuang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, premis tersebut telah diarahkan menghentikan pelepasan dan melaksanakan kerja-kerja
pembersihan serta-merta.

Jarak antara LRA Rantau Panjang dengan lokasi pencemaran adalah sejauh 29.61 kilometer (km) Manakala SSP1, SSP2 serta SSP3 pada jarak 34.02 kilometer.

Tambah Jamaliah, pelbagai tindakan awal telah dilakukan namun didapati tumpahan berkenan telah memasuki sungai berdekatan dengan bacaan tiga ton dikesan oleh pasukan statik LUAS di Sungai Kundang dan Sungai Sembah masing-masing pukul 1.30 pagi dan 4.30 pagi.

Justeru, kata beliau, LUAS turut segera menyelaraskan pembukaan pintu baraj sungai serta mengaktifkan pengepaman air mentah daripada kolam alternatif KL Larut sebanyak 432 juta liter sehari (JLH) dan HORAS 600 sebanyak 300 JLH bagi meningkatkan kadar pencairan dalam Sunagi Selangor.

Selain itu, sebanyak 59 beg AC seberat 1.47 tan keseluruhannya telah diletakkan di Sungai Kuang, Sungai Kundang dan Sungai Sembah bagi nyah bau.

“Tindakan meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan mempercepatkan aliran tercemar tersebut melepasi kawasan muka sauk loji juga giat dilakukan melalui pengepaman air mentah daripada kolam alternatif KL Larut dan HORAS 600.

“Di samping itu, pelepasan air Empangan Sungai Selangor sebanyak 1,200 JLH dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 1,000 JLH,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Jamaliah menegaskan LUAS telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999.

“JAS dan MPS juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI