fbpx

Suri rumah dituduh kurung, dera anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Nor Hidayah (kanan) untuk didakwa atas pertuduhan mengurung dan mendera anak tirinya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Foto oleh ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menganiaya anak tirinya dengan mengurung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di Kok Lanas, kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Nor Hidayah Che Awang, 37, bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan anak tirinya dengan cara mengurung kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, badan dan muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Taman Yik Perdana, Kok Lanas dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari hingga pukul 6.15 pagi pada 10 hingga 12 Julai lalu.

Nor Hidayah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan jaminan memandangkan kes tersebut serius sehingga menyebabkan mangsa yang merupakan anak tirinya trauma akibat kejadian itu.

Ahmad Adha memohon ikat jamin paling minimum memandangkan anak guamnya merupakan seorang suri rumah dan menjaga ibu yang menghidap penyakit angin ahmar.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan.

Tertuduh kemudiannya membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI