fbpx

STPM: Pahang julung kali capai GPS melepasi 3.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAMRI (tengah) dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Buat pertama kalinya Pahang mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) melepasi 3.0 bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 iaitu 3.03, meningkat sebanyak 0.06 mata berbanding tahun lalu iaitu 2.97.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, Pahang belum pernah mencapai GPS 3.0 berkenaan sejak sistem baharu STPM diperkenalkan pada 2015.

“Prestasi yang membanggakan telah dicapai oleh calon-calon STPM 2023 negeri Pahang dengan kali ini seramai 106 calon bersamaan 5.46 peratus telah mendaoat keputusan tertinggi PNGK 4.0 berbanding pencapaian lepas seramai 78 calon bersamaan 3.88 peratus.

“Ini adalah pencapaian terbaik negeri Pahang baik dari segi peratus mahupun bilangan calon,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2023 bertempat di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, di sini hari ini.

Menurutnya, GPS Pahang pada tahun ini masih kekal mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPN) 2.84, manakala seramai 1,936 daripada 1,942 calon atau 99.7 peratus mendapat kelulusan penuh yang mana 106 calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Dalam pada itu beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub muncul sebagai sekolah yang merekodkan calon mendapat PNGK 4.0 paling ramai iaitu seramai sembilan orang.

“SMK Sukaiman, Bentong dan SMK Agama Pahang, Rompin pula muncul sebagai sekolah paling cemerlang dengan pencapaian 100 peratus calonnya lulus empat mata pelajaran (4P).

“Anugerah murid Orang Asli terbaik Kebangsaan pula berjaya disandang oleh Jazlin Jusoh dengan skor PNGK 4.0 daripada SMK Sulaiman, Bentong,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, seramai 10 calon dari 25 calon yang mengambil lima mata pelajaran memperoleh lulus penuh 5P dan 1,611 calon lulus penuh 4P.

Beliau memberitahu daripada 21 mata pelajaran ditawarkan, Bahasa Cina, Syariah dan ICT merupakan mata pelajaran yang menunjukkan pencapaian 100 peratus lulus.

“Daripada jumlah itu juga, 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam pencapaian lulus penuh daripada 0.06 hingga 27.27 mata.

“Sebanyak sembilan mata pelajaran menunjukkan penurunan dan mata pelajaran Fizik menunjukkan penurunan paling besar iaitu 8.81 mata,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI